This was written way back in one of those classrooms during college days in 99/00. A few days back, it came back to me thru the hands of a someone, who had that publication.
——————————————————————
“Apa?” Itulah yang diluahkan oleh Zilla apabila diberitahu bahawa dia menghidapi penyakit barah. Dia tidak dapat bergerak. Fikirannya kusut sekali. Zilla merasakan bagaikan sesuatu yang berat telah menghempapnya. Hatinya berderai, badannya tiba-tiba terasa lemah. Dia tidak dapat menerima kenyataan ini. Apakah erti ini semua? Masa hadapanku? Cita-citaku? Harapan ibu bapaku? Zilla tidak dapat menjawab soalan-soalan itu.
Airmata yang telah lama bertakung di kelopak matanya akhirnya mengalir. Dia menuju ke pintu bilik itu denganperlahan-lahan. Cara dia berjalan seperti orang yang tidak mempuanyai arah tujuan. Badannya tidak berdaya. Dia masih tertanya-tanya akan nasibnya yang malang ini.
Zilla, seperti remaja lain, mempunyai cita-cita dan impian. Umurnya baru sahaja menjangkau dua puluh satu tahun danmasih lagi menuntut di Universiti Nasional Singapura. Cita-citanya untuk menjadi seorang peguam telah hancur. Segala-galanya bagi Zilla telah hancur. Begitu juga dengan harapan ibu bapanya. Pelajarannya harus ditangguh kerana terpaksa menjalani rawatan di hospital.
Dalam perjalanan pulang, dia teringat kembali kata-kata Doktor Sulaiman di hospital tadi.
“Zilla, saya telah menerima keputusan ujian darah awak. Awak didapati menghidap penyak barah leukimia… keadaan awak sekarang di tahap yang lanjut. Seandainya penyakit awak ini dapat dikesan lebih awal lagi dan awak telah menjalani rawatan kimoterapi, ada kemungkinan besar awak akan sembuh. Tetapi… sekarang awak berada di tahap yang lanjut. Sebaik-baiknya, awak harus menjalani pembedahan. Itu pun jikalau ada orang yang mendermakan som-som tulangnya dan ia sesuai dengan badan awak. Pada masa ini, saya masih berusaha untuk mendapatkan penderma bagi awak.”
Itulah kata-kata doktor yang menghancurkan segala impiannya. Tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa dia akan dihidapi oleh penyakit yang seserius ini. Kini pada Zilla, dia tidak mempunyai masa hadapan lagi. Fikiran Zilla begitu runsing. Sekarang dia bukan lagi seperti remaja-remaja lain. Masa hadapannya sungguh gelap sekali. Inilah kali pertama Zilla tidak mempunyai keyakinan dan kekuatan pada dirinya.
Setibanya Zilla di rumah, ibunya menyambutnya dengan senyuman yang lebar. Dia tidak tahu bagaimana hendak menyampaikan berita yang menyedihkan itu. Akulah harapan ibu bapaku. Aku tidak sanggup melihat mereka bersedih. Zilla berkata pada dirinya. Dia terus lari ke biliknya, merebahkan diri ke atas katil lalu menangis. Ibunya yang tidak tahu-menahu kelihatan resah melihat keadaan anak tunggalnya itu.
Malam itu, setelah mengerjakan solat Maghrib, Zilla telah berdoa kepada Tuhan untuk meminta kekuatan bagi menghadapi segala cabaran yang menantinya. Semasa makan malam bersama ibu dan ayahnya, Zilla telah menyampaikan berita yang menyedihkan itu. Kedua orang tuanya seakan tidak percaya dengan kata-kata Zilla. Kesedihan mereka tidak dapat disembunyikan. Ibu Zilla menangis, menitiskan airmata tanda kekesalan, dan ayahnya hanya mampu berdiam sahaja.
Setelah beberapa minggu di hospital, keadaan Zilla tidak berubah. Rambutnya gugur dan sekarang dia hampir botak. Ini adalah satu daripada kesan rawatan kimoterapi. Setiap hari ibunya menemaninya di hospital. Ayahnya akan ke hospital pada sebelah petang setelah dia selesai bertugas. Kawan-kawan Zilla sering mengunjunginya.
Pada Zilla, tiada sesiapa yang dapat merasakan penderitaan yang dilaluinya. Namun, Zilla tabah menghadapi semua itu. Dia telah dapat menerima nasibnya dan berserah kepada Tuhan. Dia percaya bahawa segala apa yang terjadi pada dirinya adalah kehendak yang berkuasa dan Zilla tahu dia tidak dpat mengubah suratan yang telah ditakdirkan ke atasnya. Sejak hari pertamanya di hospital, ibunya tidak pernah lupa memberinya kata-kata perangsang dan semangat. Dia tidak mahu Zilla lemah semangat. Ibunya mahu melihat Zilla terus berjuang dan yakin pada dirinya.
Zilah telah mendekati Tuhan dan dia telah belajar tentang kehidupan ini dan orang sekelilingnya. Keadaannya semakin hari semakin tenat. Masih belum ada penderma yang sesuai dan Doktor Sulaiman masih berusaha untuk mendapatkan penderma yang sesuai.
Setelah dua bulan di hospital, akhirnya Doktor Sulaiman berbincang dengan kedua ibu bapa Zilla mengenai keadaan Zilla. Dia memberitahu mereka bahawa keadaan Zilla sudah teruk. Barahnya telah merebak ke seluruh tubuhnya dan tidak dapat membuat apa-apa.. Mungkin Zilla tidak dapat bertahan lama. Kedua ibu bapanya tidak tahu apa yang harus dilakukan.
Sementara itu, Zilla yang sekarang telah dipindahkan ke unit penjagaan rapi, sedar bahawa dia tidak mempunyai masa yang lama. Mukanya semakin pucat dan badannya semakin kurus. Setiap hari Zilla memberitahu ibunya supaya menjaga dirinya baik-baik dan dia akan mengenang kembali saat-saat gembira bersama ibu dan bapanya. Ibunya akan menangis apabila mendengar kata-kata Zilla, tetapi Zilla tidak mengalirkan setitis airmata pun. Padanya, ini semua takdir Tuhan.
Keesokan harinya, keadaan Zilla begitu tenat dan mencemaskan. Ibu dan ayahnya berada disisi Zilla. Zilla tidak lagi sedarkan diri. Tiba-tiba, airmata mengalir dari mata Zilla yang pejam dan genggaman tangan menjadi longgar. Pada saat itu, ibunya sedar bahawa Zilla telah pergi meninggalkannya.